Pembunuh Upahan Diburu Di Kelantan. Mohon Netizen Berhati-Hati. Sebarkan..

KOTA BHARU: Pembunuh upahan dipercayai antara yang tersenarai dalam lebih 800 penjenayah atau orang yang dikehendaki Polis Kelantan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Fakri Che Sulaiman, berkata daripada jumlah yang tersenarai itu, terdapat 13 individu yang dikategorikan terbabit dalam kes berat seperti bunuh, culik dan mendatangkan kecederaan.
"Semua penjenayah itu sukar dikesan kerana sentiasa bertukar alamat dan mengubah penampilan diri.
"Apa yang lebih membimbangkan ialah mereka berada dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.
Mohd Fakri berkata, polis sudah menjalankan operasi, termasuk sekatan jalan raya bagi menahan mereka, namun masih gagal.
Beliau berkata, kes jenayah berlaku disebabkan adanya golongan berkenaan iaitu yang suka melakukan jenayah dan sebahagian daripada mereka ini biasanya sudah mempunyai rekod.
"Ada antara suspek yang dikehendaki ini bukan sahaja oleh polis Kelantan tetapi oleh polis negeri lain kerana turut melakukan jenayah di sana.
"Ada kes seorang lelaki yang dikehendaki ini dipercayai bertindak sebagai pembunuh upahan. Dia sekarang kemungkinan sedang bersembunyi dan akan menjalankan tugasnya sebaik keadaan reda," katanya.
Mohd Fakri berkata, gambar semua penjenayah terbabit akan ditempatkan di kawasan tumpuan awam seperti masjid dan balai polis.
"Kebanyakan penjenayah ini dipercayai amat agresif dan orang ramai dilarang sama sekali untuk cuba membuat tangkapan kerana boleh mendatangkan bahaya.
"Salurkan maklumat kepada polis untuk tindakan lanjut " katanya.
Sebelum ini, beliau berkata, terdapat seramai 1,086 penjenayah yang tersenarai tetapi 264 daripadanya berjaya ditahan dan digugurkan daripada senarai orang dikehendaki. – BERNAMA